KUALA TERENGGANU 6 Mac - Firma Pengajaran Perakaunan (TAF) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang merupakan inisiatif pertama seumpamanya di dunia dilancarkan hari ini.
TAF merupakan hasil kerjasama firma perakaunan Salihin dan UMT dengan mengambil pendekatan unik sebagai satu pemangkin dengan mengintegrasikan proses pengajaran dan pembelajaran, teori dan praktikal bagi melahirkan siswazah yang boleh diserapkan terus ke dalam industri.
Pelancaran TAF yang beroperasi pada awal tahun ini sebagai firma cawangan Salihin di Pusat Pengajian Perniagaan dan Pengurusan Maritim UMT disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.
Ghazali Mohd. Yusoff (kanan) menyerahkan replika cek RM1.2 juta sebagai tabung wakaf kepada Nor Aeni Mokhtar (dua dari kiri) dalam Majlis Gempak Keusahawanan Kerjaya dan SL1M Zon Pantai Timur di UMT, Kuala Nerus, semalam. Turut hadir Idris Jusoh (dua dari kanan), Abdul Wahid Omar (tengah) dan Jebasingam Issace John. BERNAMA
Yang hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aeni Mokhtar; Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Seri Jebasingam Issace John serta Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Nusantara Technologies Sdn. Bhd., Datuk Dr. Ghazali Mohd. Yusoff.
Bercakap kepada pemberita, Idris berkata, penubuhan TAF di UMT merupakan antara contoh pelaksanaan program belajar sambil bekerja yang digalakkan Kementerian Pendidikan Tinggi di bawah inisiatif Dua Universiti + Dua Industri (2u2i).
Menurut Idris, perkembangan terbaharu itu lebih membanggakan apabila kerjasama akademia-industri yang dipelopori UMT dengan Salihin turut melakar sejarah tersendiri selepas muncul universiti pertama seumpamanya di dunia yang mengetengahkan konsep sebagaimana Hospital Pengajar.
Katanya, kewujudan kemudahan terbaharu itu secara tidak langsung dapat mendedahkan pelajar kepada cabaran sebenar bidang perakaunan sekali gus mempersiapkan mereka terhadap perkara asas dalam profesion seorang akauntan termasuk berkaitan cukai, audit diikuti cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta lain-lain lagi ke arah memenuhi kehendak industri.
“Kelebihan di UMT, pelajar perakaunan tidak perlu keluar dari kampus untuk bekerja kerana TAF yang juga cawangan firma perakaunan Salihin telah dibuka khusus di sini. Buat permulaan saya difahamkan enam pelajar terpilih untuk mengikuti program di TAF,” katanya yang turut menyempurnakan Majlis Penutup Gempak Keusahawanan Kerjaya (G2K) dan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Zon Pantai Timur 2016.
Idris berkata, selain UMT, program 2u2i juga akan dilaksanakan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan tumpuan pada bidang keusahawanan diikuti Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi pertanian dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) (komunikasi).
Sementara itu, Abdul Wahid memberitahu, negara mampu mencapai sasaran melahirkan seramai 60,000 akauntan menjelang 2020 dengan adanya usaha yang dirintis TAF.
Katanya, perakaunan adalah satu daripada bidang utama negara yang masih kekurangan tenaga kerja dengan jumlah ketika ini hanya seramai 32,000 akauntan di Malaysia.
By Utusan Malaysia - March 7, 2016